Custom Search

Tuesday 15 September 2009

Dedikasi untuk S. Othman Kelantan

ARKIB : 11/08/2008 (Utusan Malaysia)

Oleh ABD. AZIZ ITAR

TANGGAL 30 Julai lalu, dunia kesusasteraan Melayu kehilangan seorang lagi Sasterawan Negara dan juga pejuang bahasa yang cukup disegani iaitu Dr. Syed Othman Syed Omar atau lebih dikenali sebagai S. Othman Kelantan yang meninggal dunia pada usia 70 tahun.

Pemergian Allahyarham ke rahmatullah bukan setakat ditangisi sanak saudara beliau, tetapi para sahabatnya dan khalayak sastera tanah air yang didedikasi menerusi karya-karya mereka.

Aktivis sastera tempatan, Datuk Dr. Mansur Abdullah misalnya, merupakan antara rakan rapat S. Othman Kelantan ketika hayatnya yang tidak terkecuali meluahkan rasa sedih dan penghormatannya terhadap pemergian Allahyarham.

Beliau mengungkap perasaannya itu menerusi sebuah puisi tulisannya berjudul Pulangnya Seorang Perantau, di mana ia merupakan sajak pertama yang ditulis khusus untuk Sasterawan Negara itu selepas Allahyarham meninggal dunia.

Katanya, puisi itu ditulis pada malam selepas membantu memandi, mengkafankan dan mengebumikan jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pangkas, Bangi, Selangor baru-baru ini.

Sebak

“Sewaktu mencangkul di kubur dan berada di pusara Allahyarham saya berasa amat sebak hingga menitiskan air mata. Ini kerana, saya amat rapat dengan Allahyarham dan mengenali beliau sejak tahun 1960-an lagi.

“Saya anggap Allahyarham sebagai ayah, abang, guru dan sahabat. Jadi, puisi ini saya tulis khas untuk Allahyarham,” katanya ketika ditemui selepas beliau membacakan puisi itu pada majlis Baca Puisi Pena - Dewan Sastera di Rumah Pena, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Dr. Mansur atau lebih terkenal dengan nama penanya M. Asikin, beliau dan Allahyarham mula rapat ketika sama-sama melanjutkan pengajian luar kampus di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, pada tahun 1974 dalam bidang kesusasteraan.

Malah, kata Dr. Mansur sebelum itu lagi, mereka sudah mula rapat apabila beliau dan Allahyarham sama-sama aktif dalam persatuan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena).

“Antara lain, menerusi puisi itu, saya cuba meluahkan rasa kehilangan saya sebagai seorang kawan atas pemergian seorang sahabat yang sukar dicari ganti. Bagi saya, Allahyarham seorang penulis yang unik kerana gaya penulisannya lain daripada lain.

“Allahyarham menulis tidak secara terang-terangan tetapi ia turut sarat dengan nilai-nilai falsafah yang tinggi termasuklah unsur-unsur agama. Saya harap anak beliau, S. M. Zakir akan meneruskan perjuangan bapanya itu,” ujarnya lagi.

Selain mendeklamasikan puisi Pulangnya Seorang Perantau, Dr. Mansur turut membacakan puisi berjudul Jika Kau Nanti, Mohonlah Selalu dan Khabar Berita.

Selain mendedikasikan puisi untuk S. Othman Kelantan, acara anjuran Persatuan Penulis Nasional (Pena) itu tidak ketinggalan menampilkan isu-isu semasa.

Contohnya, seperti yang dipaparkan oleh Khalid Salleh melalui puisinya berjudul Siapa Dan Kenapa Inul?, karya itu seakan-akan mencetuskan tanda tanya ramai mengapa dua konsert penyanyi dangdut dari Indonesia yang sepatutnya diadakan di negara ini baru-baru ini telah dibatalkan pada saat-saat akhir.

Penyair veteran Ismas Saring turut menarik perhatian ramai dengan puisinya yang bertajuk Di Hujung Musim Darurat (Mengenang Mujahid Menggapai Kemerdekaan) yang antara lain bermesejkan perjuangan orang Melayu menentang komunis ketika zaman darurat dahulu.

“Ramai orang kata kemerdekaan di negara ini dijulang atas dulang emas, tetapi bagi saya ia merupakan pengorbanan di atas darah para pejuang. Saya sendiri merupakan bekas anggota polis dari tahun 1956 hingga 1959.

Pengalaman pahit

“Saya sendiri pernah melalui pengalaman pahit apabila seorang sarjan mati di atas pangkuan saya ketika kami sama-sama berjuang menentang komunis pada ketika itu,” kata aktivis sastera berusia 70 tahun ini.

Pemuisi lain yang terbabit pada malam itu ialah Datuk Rohani Ahmad melalui sajaknya yang berjudul Kod 888, Dr. Ahmad Razali Yusof (Perempuan Terakhir Itu), Safrullah Sandrei (Empat Jam, Puisi Yang Datar) dan Napie Mat (Apabila Waktu Di Hitung, Khabar Penyair Dari Desa).

Turut serta menjayakan majlis itu ialah Malim Ghozali PK menerusi puisinya berjudul Malam Tak Pernah Kenal Siapa, Fantasi Malam, Mas Adiki (Ratib Buai Anak), Amiruddin Hanafiah (Jangan Bohongi Kemerdekaan) dan Grup Pemuisi Fakulti Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor (Khazanah Berzaman).

Para pelajar UPM terbabit yang seramai 80 orang itu turut mengadakan persembahan seperti sketsa dan joget lambak.

Pengacara majlis pada malam itu, Dr. Ibrahim Ghaffar tidak ketinggalan membacakan puisinya yang berjudul Negeriku... Bukit Kapar Kampungku pada acara sebulan sekali itu.

Kata Dr. Ibrahim, sempena kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi, beliau akan menganjurkan Majlis Moreh Puisi II yang akan diadakan di rumahnya di Bukit Kapar, Klang, Selangor, pada minggu ketiga bulan yang mulia itu.

“Tahun lepas saya menganjurkan majlis yang sama di mana hampir 100 orang datang menghadirinya. Pada majlis itu nanti, acara bakal diadakan dari pukul 10 malam hingga ke sahur di mana makan dan minum akan disediakan,” jelasnya yang tampil botak dan bertopi cowboy pada malam itu sempena ulang tahun kelahirannya pada 2 Ogos lalu.

No comments:

Post a Comment