Custom Search

Tuesday 15 September 2009

Jihaty tidak tahu penat berkarya sepanjang hayat

ARKIB : 09/06/2000 (Utusan Malaysia)

Oleh: AZMAN ISMAIL
DUNIA penulisan kreatif tanah air sekali lagi kehilangan seorang tokoh penyair terkenal, Yahya Hussain (Jihaty Abadi) yang kembali ke rahmatullah semalam (8 Jun) di Hospital Island di Pulau Pinang kerana sakit jantung.

Sebagai generasi terawal dalam dunia persajakan dan kepenyairan tempatan, Allahyarham telah menjadi tokoh prolifik yang menjadi ikutan penulis-penulis baru.

Karya-karyanya yang cenderung bertemakan masalah sosial dan romantika puisi Melayu menerobos gaya penulisan sajak patriotik yang begitu mendapat tempat dalam kesusasteraan tempatan pada era tersebut.

Dalam sajak-sajaknya, Jihaty mengungkapkan kisah lukalara masyarakat dan aspek-aspek kerohanian yang begitu ketara.

Satu hal yang paling ketara dalam sajak-sajak Allahyarham ialah nada protes yang kadang-kadang amat keras dan tajam terhadap persekitaran dan masyarakatnya, meskipun kadang-kadang cuba disembunyikan di sebalik kata-kata puitis.

Nada-nada protes dalam sebahagian sajak-sajaknya terdorong daripada masyarakatnya yang penuh dengan kepalsuan, kepunahan, keruntuhan dan sebagainya.

Menerusi sajak-sajaknya, Allahyarham cuba mencari penyelesaian kepada masalah-masalah itu dengan penuh harapan sehingga lahirlah sajak-sajak bertemakan rohani dan sosiobudaya.

Selain itu, Allahyarham juga dianggap sebagai tokoh dan penggerak sajak-sajak realisme yang agak terkeluar dari gaya persajakan penulis-penulis sezaman yang masih terikat dengan penggunaan simbol-simbol bahasa.

Jihaty yang dilahirkan pada 19 Mei 1938 di Kepala Batas, Alor Setar, Kedah telah melibatkan diri dalam bidang kepenyairan sejak 1953 tetapi mulai bergiat aktif pada 1956. Sejak penglibatannya dalam bidang kesusasteraan, Allahyarham telah menghasilkan ratusan sajak, rencana sastera, cerpen dan beberapa buah novel.

Allahyarham mendapat pendidikan rendah di Sekolah Melayu di Kepala Batas (Kedah) dan Jitra. Kemudian memasuki latihan perguruan di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur pada awal 1960-an.

Pendidikan tinggi dalam bidang bahasa dan kesusasteraan diperoleh dari kursus secara bertulis dari Universiti Nasional (Unas) di Jakarta dengan mendapat Ijazah Sarjana Muda pada 1971.

Pada 1977, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Sastera dengan tesis Hikayat Indera Bangsawan: Sebuah Transkripsi dan Kajian di bawah penyeliaan H.B Jassin.

Setelah itu, Jihaty menjadi guru sastera di kelas bimbingan Maktab Mahmud dan juga di Sekolah Arab Perempuan Tarbiah Islamiah, Alor Setar. Peluang sebagai tenaga pengajar sastera ini digunakan untuk mengembangkan lagi bidang persajakannya hingga berjaya meraih beberapa anugerah sastera.

Antaranya memenangi Hadiah Sastera bagi tahun 1973 dan 1976. Beliau juga pernah memenangi hadiah dalam Peraduan Sajak-Sajak Kuala Lumpur anjuran Gapena.

Dalam bidang badan sastera, Allahyarham merupakan pengasas kepada penubuhan Persatuan Penulis Muda Kedah pada 1958 dan Gabungan Sasterawan Sedar (Gatra) pada 1966.

Sementara itu, karya-karya Allahyarham dalam genre novel ialah orban Penari Joget (1958), Jalan Penuh Debu (1967), Terkulai (1967), Mereka Yang Jahanam (1973), Tumpang Kasih Suami Orang (1973).

Genre puisi memperlihatkan Allahyarham menghasilkan lebih lima antologi. Antaranya Anak Rempang Karam di Kota (1968), Gegaran (1968) dan Darah Merah (1973).

Penglibatannya dalam Gapena sejak 1976 semakin mengukuhkan lagi pengabadiannya dalam bidang sastera. Beliau tidak penat-penat mengabdikan diri dalam bidang penulisan sehingga ia menjadi sebahagian dari darah dagingnya. Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Islam Titi Besi dekat Alor Setar.

No comments:

Post a Comment