Custom Search

Tuesday 15 September 2009

Tauhid, wilayah sebenar sastera

ARKIB : 23/08/2009
Oleh FAISAL TEHRANI
SAYA berpendapat kita memerlukan sebuah persuratan yang menyediakan solusi untuk setiap masalah ummah dengan jalan supra mazhab. Saya perhatikan mutakhir ini karya sastera Islam kita telah menjadi kaku beku di dalam zon selesa.
Pengarang hanya memuatkan beberapa pandangan ulama, ayat Quran atau hadis dan ungkapan-ungkapan keislaman untuk menjadikan karyanya sastera Islam.
Ini lebih-lebih lagi dapat dilihat menerusi karya generasi baharu yang cenderung bersifat 'pop-keislaman'. Hanya terdapat seorang dua pengarang muda yang 'bekerja keras sedikit', dengan memuatkan wacana ilmu supaya karya sastera Islam tersebut mempunyai nilai tambah.
Perkara ini pernah disinggung satu masa dahulu oleh filsuf Algeria terkenal, Malek Ben Nabi, yang mengatakan setelah mengenal pasti masalah, umat Islam mesti menyediakan satu sikap sosial (solusi), dan bukan sekadar mengeluh dan mengulang membicarakan tentang masalah tersebut tanpa henti. Justeru, untuk kepentingan ummah secara menyeluruh; maka Islam dan umat yang dimaksudkan dalam kerangka sastera Islam tidak harus terhad kepada kelompok tertentu sahaja. Ini bererti kita tidak harus menulis untuk memberi penawar kepada umat Islam di Malaysia semata-mata. Kita perlu menulis untuk umat Islam secara global.
Sayyid Hossein Nasr dalam Ideals and realities of Islam (1967) menekankan Islam adalah sebuah agama yang pluralistik dengan kepelbagaian tradisi.
Dengan menggaul pelbagai tradisi Islam dari setiap penjuru dunia, ummah dapat saling meminjam kekuatan dan kelebihan satu sama lain. Ini bersesuaian dengan seruan Taha Jabir Fayyad al-Alwani dalam The Ethics of Disagreement in Islam (1997). Beliau menyebut, "If differences of opinion operate in a healthy framework they could enrich the Muslim mind and stimulate intellectual development".
Di sinilah pula datangnya peranan disiplin sastera bandingan yang dapat memugar persamaan dan perbezaan sastera Islam dari pelbagai rantau umat Islam. Sarjana sastera bandingan kita sudah perlu melangkah membandingkan wacana dan produk sastera Islam dari wilayah lain. Perbandingan yang bersungguh-sungguh akan membolehkan kita umat Islam membentuk satu jati diri persuratan yang bermodelkan kepimpinan Islam yang benar dengan pendekatan 'supra mazhab'.
Gesaan melakukan kajian bandingan antara sastera Islam bukanlah sesuatu yang baru. Ia pernah dianjur oleh Ungku Maimunah Mohd Tahir dalam esei beliau Kesusasteraan Bandingan dan Situasi Malaysia: Beberapa Pengamatan Awal Dalam Kesusasteraan Bandingan Sebagai Satu Disiplin (1994). Beliau menyatakan khazanah sastera berunsur Islam mempunyai satu kesatuan iaitu Islam untuk dibandingkan. Sarjana ini malah meramalkan suatu yang 'menarik' sekiranya kajian dalam bentuk bandingan dilakukan.
Sastera Melayu Islam misalnya dapat meminjam kekuatan sastera Islam rantau Indo Pakistan yang kuat tradisi sufismenya. Kita di Nusantara juga dapat menekuni dan meminjam apa yang baik dari sastera Islam Parsi dengan kekuatan falsafah pada tradisi sastera Islam syiahnya. Belum ada pula perbandingan yang bermakna untuk meminjam tradisi sastera Islam dari Afrika yang kukuh dengan pengaruh tarekat Sanusiyyah dan jihad yang panjang menentang kolonialisme Perancis dan Itali. Dengan membandingkan wacana dan pemikiran (yang terbenam dalam karya sastera Islam pelbagai tradisi) satu kesatuan ummah juga dapat digerakkan.
Menurut seorang ulama sunnah wal jamaah yang terkenal, Dr. Abdul al-Majid al-Najjar dalam buku yang diterjemahkan dengan judul Kebebasan Berpendapat dan Penyatuan Pemikiran Ummat (1997): "Kesatuan dan keharmonian model perpaduan untuk meraikan kepelbagaian ummah ialah dengan menggunakan akal (intelektual) berasaskan tauhid yang mutlak demi akidah Islam".
Penggunaan formula supra mazhab dalam karya sastera Islam (juga dalam disiplin sastera bandingan) kita dengan itu dapat menjadi satu dakwah bil hal atau gerakan mengajak kebajikan berdasarkan ayat 10 surah al-Hujurat: "Orang-orang mukmin itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat." Berdasarkan ayat al-Quran ini, kita malah dapat mengacukan sebuah model persaudaraan dalam sastera sastera Islam, dengan menggunakan paduan dua kaedah usul fikah iaitu sadd al-dhara'ei (menutup pintu bahaya) dan al-akhdhu bi al-Ahwat (mengambil yang lebih berhati-hati). Paduan dua kaedah ini akan membolehkan kita membataskan peminjaman tradisi sastera dan naratif (contohnya dari Barat) yang sama sekali tidak berkenaan dengan kita.
Sudah tiba masanya kita menonjolkan kekuatan kita sebagai pemimpin dalam menawarkan pelbagai kaedah penyelesaian untuk masalah ummah. Ini kerana umat Melayu-Islam adalah umat yang telah menunjukkan toleransi, kreativiti dan kebijaksanaan dalam pelbagai disiplin. Usahlah kita membunuh 'potensi' yang sedia ada ini. Sebaliknya kerencaman umat Islam harus digali, ditekuni, dipugar dan diadaptasi kembali menjadi satu kekuatan baharu.
Ini saya tanggapi sejajar dengan dua pandangan sarjana terkemuka kita. Pandangan dua tokoh berikut telah saya tekankan dalam prakata novel saya Tuhan Manusia. Yang pertama saya petik dari makalah al-marhum ustaz Yusoff Zaki Yacob "Masalah Pengasingan Sasterawan Melayu dari Intelektualisme Islam" yang beliau kemukakan pada tahun 1973 dalam Simposium Sastera dan Agama. Seterusnya esei Tumbuh Tiada Berbuah tulisan al-marhum Profesor Dr Syed Hussein al Attas untuk Hari Sastera 1978 di Kuala Trengganu.
pembangunan
Ustaz Yusoff Zaki menulis: "Kini, di saat kita mengkehendaki satu bentuk pemikiran Islam yang dinamis, sesuai untuk menjiwai pembangunan kita, maka undang-undang yang cuba menahan perkembangan pemikiran Islam dalam tembok-tembok mazhab yang sempit itu perlu dihapuskan. Masanya telah tiba untuk kita memulakan perkembangan pemikiran Islamiah yang tidak tertakluk kepada satu mazhab, kerana persoalan-persoalan yang timbul di zaman moden ini tidak mampu diatasi dengan pemikiran mazhab Syafie sahaja". Perhatikan ketegasan dan seruan beliau sekali lagi, "Masanya telah tiba untuk kita memulakan perkembangan pemikiran Islamiah yang tidak tertakluk kepada satu mazhab." Pandangan Allahyarham Yusoff Zaki yang banyak mencorakkan sastera Islam tanah air sejak tahun 70 an sejajar dengan pandangan al-marhum Profesor Dr Syed Hussein alAttas.
Profesor Syed Hussein menyebut: "Bagi para penulis dan penyair kita di Malaysia dan Asia Tenggara seluruhnya, apakah ertinya soal pembukaan kembali pintu ijtihad ini? Ertinya mereka harus menghidupkan semangat bebas berfikir, bebas dari belenggu feudalisme; dari belenggu faham-faham yang sudah usang; dari belenggu faham taklid yang negatif. Mereka mesti menghidupkan semangat ini hingga ada nanti yang terpengaruh dan tampil ke muka, di kalangan generasi yang akan datang, bagi mendirikan sistem-sistem pemikiran yang dapat menggerakkan jiwa masyarakat ke arah kemajuan dan keadilan. Sebagai penulis-penulis Islam mereka mesti mengetahui dasar-dasar agama Islam; mesti mengetahui tentang ilmu-ilmu zaman sekarang; mesti mengetahui tema-tema yang penting dan yang belum cukup diperhatikan; mesti pandai mengolah unsur-unsur Islam, ilmu pengetahuan, tema, jalan cerita dan keadaan sekeliling, dalam satu hidangan yang akan berhasil meninggikan darjat kesedaran, pemikiran dan perjuangan ke arah yang murni".
Sudah tiba masanya kita bergerak dari pertikaian apakah karya sastera harus memuatkan ilmu yang benar atau tidak, di sebalik cerita yang berhemah atau tidak. Kita harus bergerak dari perbincangan apakah kriteria untuk menilai Islam atau tidaknya sesuatu karya. Generasi baharu pengarang sastera Islam mesti mencabar diri masing-masing untuk membuka ketempurungan minda menerokai wilayah sastera Islam yang sebenarnya luas. Persuratan Islam yang kini lembab perlu disegarkan kembali dengan peranan asasnya iaitu hendak 'melangsaikan masalah ummah dengan menyarankan solusi dari pelbagai tradisi Islam'. Ini perlu supaya sastera Islam kita terus bergerak menuju walayat yang sebenar iaitu - tauhid. Dan inilah cabaran sastera Islam dekad-dekad mendatang.

No comments:

Post a Comment