Custom Search

Tuesday 15 September 2009

T. Alias Taib - Perginya penyair alam

ARKIB : 19/08/2004

BelasungkawaOleh AZMAN ISMAIL
(Wartawan Utusan)

DUNIA kepenyairan tanah air sekali lagi kehilangan aktivis dan pejuangnya berikutan pemergian Tengku Alias Taib (T. Alias Taib) yang terkenal sebagai penyair alam, romantik dan humanis.
Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhirnya selepas menunaikan solat Maghrib di rumahnya di Lembah Keramat, Kuala Lumpur semalam.
T. Alias dilahirkan di Kampung Padang Engku Sar, Batas Baru, Kuala Terengganu pada 20 Februari 1943 dan mendapat pendidikan tinggi Pusat Latihan Perguruan Kuala Terengganu dari tahun 1960 hingga 1962.
Setelah tamat latihan guru, beliau mengajar di beberapa buah sekolah kebangsaan termasuk Sekolah kebangsaan Sungai Rengas, Kuala Terengganu (1963-1967), Bukit Besi (1971-1973) dan Teluk Pasu, Kuala Terengganu (1973-1974).
Mulai 1974, Allahyarham berpindah ke Kuala Lumpur dan mengajar di beberapa sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan Datuk Keramat dan Sekolah Rendah Kebangsaan (L) Jalan Batu.
Penglibatan Allahyarham dalam dunia kesusasteraan bermula pada 1964 setelah puisi Persembahan dan cerpen pertamanya, Dunia Pelayan masing-masing tersiar di dalam majalah Angkatan Baru edisi Oktober 1964 dan Mac 1965.
Namun, dalam dunia kesusasteraan, genre puisi lebih menjadi pilihan Allahyarham.
Ia terbukti apabila pada 1972, beliau menerbitkan sendiri kumpulan puisinya, Laut Tak Biru Di Seberang Takir pada 1972 yang memuatkan 44 sajak.
Antara karya-karya lain Allahyarham ialah Angin dan Badai (antologi bersama, 1975), Kuala Lumpur (antologi bersama, 1975), Pemburu Kota (1978), Tinta Pena (antologi bersama, 1981), Pertemuan (antologi bersama, 1982), Bunga Gerimis (antologi bersama, 1986).
Karya-karya lain Allahyarham ialah Bintang Mengerdip (antologi bersama, 1984), Seberkas Kunci (1985) dan Puisirama Merdeka (antologi bersama, 1986)
Dalam kegiatan badan penulis tanah air, Allahyarham merupakan salah seorang pengasas Persatuan Sasterawan Muda Terengganu (Pelita) dan ahli Persatuan Penulis Nasional (Pena).
Beliau pernah dilantik sebagai Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1998 hingga 2000 dan terpilih mewakili Malaysia untuk mengikuti kursus penulisan kreatif di Taiwan pada tahun 2001.
Dalam proses kreatifnya, Allahyarham sering bercerita tentang ketuhanan, keindahan alam, kemiskinan dan kasih sayang dengan nada gelisah dan tertindas tetapi dengan jalinan metafora yang menarik.
Seringkali, Allahyarham mengingatkan khalayak tentang gaya humanisme dan romantik seperti disuarakan oleh Naquib Mahfouz, Pablo Neruda atau penyair Indonesia seperti W.S Rendra, Goenawan Muhamad, Bur Rasuanto dan Subagio Sastrowardoyo.
Seperti pernah diungkapkan oleh Sasterawan Negara Allahyarham Dr. Usman Awang, ``untuk menjiwai bahasa dan gaya romantisme dalam puisi moden Malaysia, selamilah sajak-sajak T. Alias Taib''.
Namun, kini tokoh yang telah mengabdikan diri dalam dunia kepenyairan tersebut telah tiada. Tidak akan kedengaran lagi lantunan puisi tentang rumah kilat, setinggan, Pasar Chow Kit atau erti kemanusiaan di sebalik lorong-lorong gelap di ibu kota.
Khalayak juga tidak mungkin lagi dapat membaca sajak-sajak tentang kelesuan Sungai Klang dan Gombak atau suara-suara protes gagak terhadap manusia di sekitarnya.
Sementara itu, keindahan pada kebanyakan puisi-puisi Allahyarham tidak bergantung kepada objek yang dilukiskan tetapi cara pengucapan serta kesesuaian bentuk yang dipilihnya.
Allahyarham disebut sebagai salah seorang penyair yang tidak pernah bosan dengan eksperimen. Dengan bahasa yang ringkas dan mudah, beliau sentiasa cuba untuk menampilkan sesuatu yang baru.
Prof. Sapardi Djoko Damono, seorang ahli akademik dan penyair terkenal Indonesia mengungkapkan karya-karya Allahyarham merupakan jambatan antara tradisional dan moden dalam kesusasteraan nusantara.
Sejumlah besar puisinya lebih merupakan puisi pictorial yang menggambarkan satu kesan daripada peristiwa, objek atau imbasan rasa.
Namun begitu, puisi-puisinya berhasil memaparkan satu gaya baru yang kadang-kadang mencabar konvensi.
Itulah T. Alias Taib yang telah meninggalkan sejuta pesona kepada dunia sastera tempatan yang masih memerlukannya.

No comments:

Post a Comment